Pilih...penggunaan lampin kain tidak rumit dengan adanya butang.
Lampin kain berwarna putih ini dilipat kemas dan dijadikan alas sebelum dipakaikan seluar.
Tidak seperti lampin moden yang dibuang selepas digunakan, lampin kain lebih renyah dan memenatkan.
Ini kerana lampin ini perlu dicuci dan dikeringkan sebelum dipakai semula.
Bagi bayi yang baru dilahirkan, tentulah memerlukan lampin kain yang banyak setiap hari dan ini pasti menambah bebanan ibu untuk membersihkannya.
Walaupun lampin pakai buang nampak mudah dan menyenangkan, tidak ramai yang tahu penggunaan lampin diperbuat daripada kertas yang dilunturkan beberapa kali supaya bersih dan putih membawa kesan negatif kepada bayi.
Ini terbukti daripada kajian dijalankan Jurnal Pediatrik menunjukkan 54 peratus bayi berusia sebulan yang memakai lampin pakai buang mendapat ruam lampin manakala kajian perubatan mendapati kes ruam lampin meningkat daripada tujuh peratus sehingga 78 peratus dari 1955 sehingga 1991 seiring dengan perkembangan lampin pakai buang.
Menurut pengasas ClothDiaperMalaysia.com, Nor Farhana Mohamad Fadzil, penggunaan lampin kain yang dulu terkenal di kalangan masyarakat Melayu kini semakin popular di negara Barat.
Ini disebabkan walaupun nampak rumit, lampin kain memberi kebaikan bukan saja daripada sudut kesihatan, tetapi alam sekitar dan kewangan.
Ramai ibu bapa tidak tahu di dalam lampin pakai buang terdapat bahan kimia dioksin yang terhasil akibat proses pelunturan.
Ini berlaku pada kertas yang digunakan bagi menghasilkan lampin pakai buang yang perlu dilunturkan supaya bersih dan putih.
Selain itu, sejenis bahan iaitu sodium polyacrylate dimasukkan ke dalam lampin pakai buang untuk membuatnya menyerap dengan banyak.
Bahan ini akan bertukar kepada gel apabila basah dan boleh menyebabkan kulit bayi menjadi kemerah-merahan sekiranya lampin lambat ditukar. Gel ini tidak lagi digunakan dalam pembuatan tampon wanita sejak 1995 kerana dikaitkan dengan kejutan sindrom toksid.
“Ruam lampin juga berlaku disebabkan alahan, kekurangan pengudaraan di dalam lampin, kepanasan dan bayi tidak ditukar lampin dengan kerap kerana tidak merasa basah sebagaimana memakai lampin kain.
“Ini sangat bahaya kerana membiarkan bayi memakai lampin yang sama sehingga berjam-jam akan menyebabkan bakteria bertindak balas dengan ammonia dalam air kencing dan menyebabkan ruam lampin yang teruk. Dalam kes alahan kronik, bayi akan muntah dan demam disebabkan jangkitan kuman,” jelasnya.
Satu kajian di Jerman pada 2000 mendapati lampin pakai buang boleh menaikkan suhu sekitar skrotum bagi bayi lelaki dan boleh menjadi punca kerosakan mekanisma penyejukan semula jadi.
Justeru, ini boleh memberi kesan kepada kesuburan pada masa akan datang.
Selain kesihatan, pemakaian lampin pakai buang selama tiga tahun menyumbang kepada 50 peratus daripada keseluruhan sampah yang dikeluarkan dari rumah.
Ini terbukti apabila lebih daripada 27 juta lampin pakai buang sampai ke tempat longgokan sampah di serata dunia manakala sehelai lampin pakai buang mengambil masa sehingga 500 tahun untuk reput dengan sendirinya.
“Ini tentunya akan mencemarkan alam sekitar disebabkan tahap pereputan yang sangat lama. Ditambah pula kandungan bahan mentah seperti kertas serta bahan kimia untuk menghasilkannya yang tentunya akan mencemarkan air apabila berada lama di tempat longgokan sampah. Ini berbeza dengan penggunaan lampin kain yang lebih selamat serta mesra alam sekitar,” jelasnya.
Menurut Nor Farhana, ketika mengandungkan Filip Alif Rafee dia sudah mendapat pendedahan mengenai kebaikan lampin kain kerana sering melayari Internet.
Walaupun tidak mendapat sokongan keluarga terutama ibu, Nor Farhana tetap mahu menggunakannya.
“Ibu saya tidak yakin saya mampu menggunakannya kerana bimbang sekiranya saya tiada masa menukar lampin. Namun saya buktikan kepadanya yang lampin kain lebih mudah digunakan, mesra alam serta sangat menjimatkan.
“Lagi pun ibu pada zaman dulu menggunakan lampin kain untuk anak mereka, jadi mengapa saya tidak mampu untuk kembali seperti zaman dulu,” katanya.
Dia mengakui sama seperti lampin pakai buang, lampin kain juga perlu ditukar apabila dipakai dua atau tiga jam. Penggunaannya nampak rumit namun alah bisa tegal biasa. Ibu yang sudah biasa menggunakannya tiada masalah dari segi cara menukar dan membasuhnya.
“Ramai ibu beranggapan lampin kain perlu dibasuh menggunakan basuhan tangan, sebenarnya tidak, hanya buangkan saja najis pada lampin kemudian cuci menggunakan mesin basuh.
“Lampin kain moden ini mudah dibasuh kerana di dalamnya terdapat kain yang boleh ditanggalkan dan mudah kering kerana diperbuat daripada kain yang ringan, lembut, selesa dan mempunyai pengudaraan yang baik untuk kulit bayi,” katanya.
Keistimewaan pada bayi adalah mereka lebih cepat membezakan antara basah dan kering kerana walaupun bahagian dalam lampin kain (fleece) ini sentiasa kering dan selesa, masih ada kedinginan semula jadi berbanding lampin pakai buang. Ini memberi kebaikan kepada bayi kerana mereka akan lebih cepat belajar membuang air sendiri di tandas.
“Menurut satu artikel di dalam Wall Street Journal, bayi yang memakai lampin pakai buang memakai lampin sehingga umur 36 hingga 42 bulan, sedangkan bayi yang memakai lampin kain masanya lebih singkat iaitu sehingga setahun lebih awal. Ini sangat menjimatkan kerana anak anda akan cepat belajar membuang air sendiri di tandas,” jelasnya.
Tidak seperti lampin pakai buang yang biasanya mempunyai warna yang sama, lampin kain moden ternyata lebih cantik kerana datang dalam pelbagai rekaan, warna dan corak. Potongannya juga lebih cantik dan kemas serta selesa dipakai berbanding lampin pakai buang.
Cara pemakaiannya juga sangat mudah, ketatkan menggunakan butang dan boleh dikecil atau dibesarkan mengikut ukuran anak.
Menurutnya, sejak Filip menggunakan lampin kain moden, dia tidak perlu bimbang untuk membeli lampin setiap bulan. Ini kerana bagi ibu bekerja, mereka hanya perlu membeli 12 keping lampin kain moden manakala suri rumah hanya memerlukan kurang daripada 10 lampin kerana boleh terus dibasuh selepas digunakan. Malah, lampin kain ini boleh digunakan untuk anak seterusnya.
“Penggunaan lampin kain sangat menjimatkan. Ini kerana sekiranya anda menggunakan lampin pakai buang untuk anak, anda memerlukan enam keping sehari dengan kos RM3. Untuk penggunaan lampin pakai buang selama setahun, anda memerlukan kira-kira RM1,095 untuk seorang anak.
“Sekiranya tiga tahun, kos untuk lampin pakai buang berjumlah RM3,285 dan anda perlu mengeluarkan jumlah yang sama untuk anak kedua dan ketiga. Berbeza dengan lampin kain kerana anda hanya perlu mengeluarkan RM540 (iaitu 12 keping x RM45 = RM540) untuk seorang anak dan boleh digunakan untuk anak seterusnya selagi lampin kain itu tidak rosak.
“Untuk keselesaan anda boleh membeli bahagian dalam lampin saja supaya lampin kain anda tahan lama. Ini sudah tentu sangat menjimatkan,” katanya.
p/s : information ni saya ceduk dari Harian Metro..
0 comments:
Post a Comment