Abg sayang adik......

Menerima kehadiran orang baru dalam keluarga pasti seronok dan menggembirakan. Namun tanpa kita sedar ada hati milik si kecil yang sedang cemburu dan merasakan kehadiran ‘orang baru’ itu bakal menggugat perhatian mama dan papa terhadapnya. Perlakuan cemburu terhadap adik baru pastinya pernah anda saksikan di dalam kalangan anak kecil. Cemburu memanglah positif kerana ia menandakan si manja telah berkembang dari segi mental. Namun jika dibiarkan berlarutan perasaan cemburu ini mungkin akan menimbulkan masalah kepada anak-anak terutama sekali bagi segi emosi.
Pada usia tiga atau empat tahun, biasanya si kakak atau si abang sudah boleh menerima kehadiran adik baru. Malah ada kanak-kanak yang meminta-minta supaya mamanya ‘membelikan’ adik di pasar raya lantaran terlalu suka melihat kecomelan bayi. Lucu bukan? Begitulah terujanya mereka ingin memiliki adik. 
Apabila ibu sedang hamil, kakak atau abangnya tidak sabar-sabar untuk melihat adik baru untuk bermain bersama-sama. Namun lain pula halnya bagi sesetengah kanak-kanak. Apabila adik telah lahir, terasa seperti segala perhatian telah beralih daripadanya kepada adik baru menyebabkan api cemburu menyala-nyala sehingga menyebabkan pelbagai tindakan agresif yang tidak diingini.


 
 Mudah2an kasih sayang antara 2 beradik ini kekal hingga hujung nyawa.....

Kesan cemburu
Cemburu kepada adik baru boleh menjadi sebab kepada pelbagai masalah. Ia boleh menjadi lebih parah sekiranya dibiarkan. Oleh sebab kemahiran komunikasi dan bahasa mereka masih belum berkembang sempurna, pada peringkat usia begini, luahan cemburu sering ditunjukkan menerusi kelakuan-kelakuan mudah mengamuk. Selain itu kencing malam, hilang selera makan juga petanda emosinya tidak tenang. Kesan cemburu juga mengakibatkan terjadi perbuatan-perbuatan yang agresif seperti memukul atau menyakitkan adiknya yang mungkin akan mendatangkan kecederaan. Oleh itu, pupuklah rasa sayang mereka kepada adik yang bakal lahir agar rasa cemburu dapat dielak.
Apa sepatutnya dilakukan?
Aimi hairan apabila mama tidak lagi mempunyai masa untuknya. Aktiviti seperti mandi, makan dan tidur kebanyakannya diuruskan oleh papa dan nenek sahaja. Jarang-jarang sekali mama akan menemani Aimi menonton, itu pun apabila adik tidur. Kenapa mama berubah? Mama sudah tidak sayang Aimi lagi kah?Aimi benar-benar cemburu, geram dan ingin memberontak. Ini semua berpunca daripada adik yang  ‘merampas’ mama dari Aimi. Sebab itulah Aimi tidak suka adik.
Pada usia tiga hingga empat tahun, itulah cara pemikiran mereka. Senario begini sering berlaku pada anak yang apabila ibu dan ayah yang tidak menyediakan minda anak untuk menempuh fasa perkembangan sebagai seorang kakak atau abang. Mempunyai adik baru bermakna dia anda bakal berkongsi kasih sayang, masa, perhatian dan ruang. Situasi ini jika muncul secara mengejut pasti akan memberikan kesan emosi yang ketara dan menyebabkan si manja rasa terabai.
Ambil langkah-langkah ini untuk mengelakkan dia cemburu pada adiknya selepas dilahirkan kelak:
  • Beritahu bakal akak atau abang tentang kehadiran adiknya tidak lama lagi sebaik sahaja anda mengetahui anda hamil. Ajaklah anak berbual dengan adiknya di dalam kandungan. Langkah ini akan menyebabkan ia tidak ketinggalan dalam penantian kelahiran adiknya dan tahu kelak dia akan menjadi kakak atau abang.
  • Cuba libatkan anak anda dalam membuat persediaan menyambut kelahiran adiknya.  Sebagai contoh ketika membeli-belah barang keperluan seperti pakaian atau mainan. Berikan ia kebebasan memilih satu barang untuk bakal adiknya. Langkah ini akan menyebabkan dia berasa seronok, teruja dan berlagak seperti abang atau kakak.
  • Terangkan padanya berulang-ulang kali bahawa adiknya nanti akan memerlukan banyak perhatian selepas dilahirkan. Sebagai contoh-“Nanti bila adik lahir, mama kena susukan adik sebab adik tak boleh makan dan minum macam Sara. Dia boleh minum susu mama sahaja. Dia tidak boleh mandi sendiri, tak boleh pakai baju sendiri. Jadi mama dan Sara kena tolong mandikan adik dan pakaikan baju. Bila adik dah besar macam Sara, adik dah boleh buat sendiri”.
  • Elakkan mengubah rutin harian anak anda selepas kelahiran adiknya. Anda sepatutnya mengubahnya sedikit demi sedikit untuk mengelakkan dia rasa anda berubah selepas melahirkan adiknya lahir. Sebagai contoh dari segi pembahagian masa  untuk mandi, siapa menemaninya makan atau mengajarnya mewarnai dan melukis mengambil alih tugas ibu. Cuba praktik jadual baru membaca dan menonton sekurang-kurangnya lima atau enam bulan sebelum adik baru menjengah dunia.
  • Minta bantuan anak anda semasa anda menguruskan adiknya. Sebagai contoh minta bawakan lampin atau tisu  lembap untuk menukarkan lampin adiknya. Ia akan membuatkan ia berasa seperti kakak atau abang yang boleh diharap dan boleh memupuk perasaan sayang kepada adiknya. 
Apa yang perlu dielakkan?
  • Memberitahu kehadiran adiknya nanti adalah sebagai teman bermainnya. Hal ini kerana  tempoh hamil sangat panjang dan selepas kelahiran adik barunya hanya akan menyusu dan tidur sahaja, tidak akan menjadi teman sepermainannya sepantas itu.
  • Melarang dia  daripada menghampiri atau menyentuh adik kerana caranya yang agak kasar. Biasanya anak pada usia ini akan memeluk adiknya dengan terlalu kuat atau mencium dengan kerap. Tindakan ini menunjukkan ia sedang keliru dengan perasaan sendiri. Sebaik-baiknya tegur dengan cara yang baik dan ajar dia cara untuk menyentuh dengan cara yang lembut.
  • Pada peringkat umur ini, anak akan mudah cemburu melihat orang lain mendapat perhatian. Ia ditunjukkan dengan pelbagai hal seperti mahu ibu memakaikan baju untuknya, mahu didukung seperti adik dan disuapkan ketika makan walhal dia sudah pandai melakukannya sendiri. Usah cepat melenting. Kawal emosi dan anggap anak anda sedang menyesuaikan diri dengan keadaaan baru.
  • Mendukung adik baru ketika memperkenalkan kepadanya. Tindakan ini akan menyebabkan anak anda berasa terpinggir dan anda lebih menyayangi adiknya.
  • Orang sekeliling lebih menumpukan perhatian kepada adiknya berbanding dirinya. Anda perlu meminta ahli keluarga atau rakan-rakan untuk tidak ketinggalan bercakap mengenai si kakak atau abang agar perhatian yang diberikan lebih seimbang. 
Tahukah anda
Jarak umur antara anak dua hingga empat tahun akan mencetuskan perasaan cemburu yang ketara kepada anak yang lebih tua. Manakala jarak umur 18 bulan atau lima tahun  ke atas mempunyai risiko yang lebih rendah.


(Sumber: Majalah Pa&Ma Ogos 2012)